TOKYO: Jepun merekodkan lebih 32,000 kes baharu COVID-19 pada Selasa, sekali gus melebihi paras tertinggi sebelumnya yang direkod pada Ogos lalu.

Wilayah barat Osaka mencatatkan 5,396 kes baharu, manakala Tokyo merekodkan 5,185 kes iaitu tertinggi sejak Ogos lalu.

Kadar penggunaan katil hospital di Tokyo bagi pesakit COVID-19, meningkat kepada 23.4 peratus pada Selasa.

Menurut pihak berkuasa, jika ia terus melonjak sehingga 50 peratus, kerajaan akan mengisytiharkan perintah darurat sepenuhnya.

Jepun sedia meluaskan perintah sekatan pergerakan COVID-19 meliputi separuh daripada populasi penduduknya susulan penularan varian Omicron yang menyebabkan peningkatan jangkitan kes baharu.

Perdana Menteri, Fumio Kishida dijangka meluluskan pelan itu secara rasmi selepas ia dimuktamadkan oleh panel pakar kesihatan.

Pelan separa darurat dijangka melibatkan sekatan terhadap perniagaan, termasuk waktu operasi yang lebih pendek untuk bar dan restoran serta larangan ke atas penjualan alkohol.