TIGA penganjuran konsert pop dipentaskan dalam masa satu hari di Leipzig, Jerman bagi membolehkan para saintis mengkaji risiko perhimpunan orang ramai di dalam sebuah ruang yang besar ketika penularan COVID-19 kini.

Kira-kira 4,000 sukarelawan berusia antara 18 hingga 50 tahun menyertai kajian yang dijalankan pada Sabtu yang dikendalikan oleh Universiti Halle.

Penganjuran ketiga-tiga konsert tersebut mendapat persetujuan daripada penyanyi Tim Bendzko.

Kajian tersebut dijalankan ketika negara itu mencatatkan rekod kes baharu positif COVID-10 tertinggi sejak akhir April lalu.

Lebih 2,000 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kumulatif di negara itu kini adalah 232,082 kes.

Memetik laporan BBC, kajian yang digelar, Restart-19 itu dijalankan dalam tiga senario berbeza dan melibatkan 4,000 penonton di Arena Quaterback Immobilien di Leipzig pada Sabtu.

Senario pertama adalah untuk mensimulasikan peristiwa sebelum penularan wabak; yang kedua dengan kebersihan yang lebih baik dan beberapa penjarakan sosial; dan yang ketiga dengan separuh jumlah pengunjung dikurangkan dan setiap orang berada sejauh 1.5 meter.

Kesemua sukarelawan dikehendaki melakukan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu dan diberikan pelitup muka serta alat penjarakan sosial.