COVID-19: Johnson seru rakyat terus berhati-hati, elak gelombang ketiga di UK

Astro Awani
Mac 23, 2021 22:36 MYT
Boris Johnson beri amaran kemungkinan gelombang ketiga penularan COVID-19 boleh berlaku di negara itu. -Gambar fail
LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson beri amaran kemungkinan gelombang ketiga penularan COVID-19 boleh berlaku di negara itu.
Justeru, beliau menggesa agar rakyatnya terus waspada dan mengamalkan langkah pencegahan.
Ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak yang kini kian meningkat di Eropah.
"Kita perlu sentiasa berhati-hati dengan kemunculan gelombang ketiga.
"Seperti yang (ketua penasihat perubatan kerajaan) Chris Witty katakan, dukacita, kita menyaksikan peningkatan kes di Eropah.
"Kita juga menyaksikan gelombang ketiga dan mereka mengambil langkah susulan untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara itu.
"Dan kami di UK sudah melakukan langkah tegas di pintu sempadan termasuk ujian saringan mandatori terhadap semua pengembara yang masuk ke negara ini," kata Johnson.
Dalam sidang media sempena setahun perintah sekatan di negara itu, Johnson turut menyatakan terdapat beberapa perkara yang boleh dipelajari semula untuk menghadapi pandemik lain pada masa akan datang.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pihak kerajaan akan memperincikan garis panduan sempena cuti umum menjelang 5 April nanti.
Sementara itu, sempena setahun perintah sekatan akibat pandemik COVID-19 di UK, upacara memperingati mangsa yang terkorban diadakan.
Lilin dinyalakan di 10 Downing Street pada Selasa.
Petugas perkhidmatan kesihatan nasional (NHS) dan ahli-ahli Parlimen turut bertafakur selama satu minit.
Manakala lampu di Blackpool Tower juga dinyalakan sebagai simbolik memperingati mangsa.
UK merekodkan jumlah kumulatif lebih 4.3 juta kes COVID-19 dengan lebih 126,000 kematian.
#COVID-19 #pandemik #Boris Johnson #ujian saringan #kerajaan #London #Chris Witty #gelombang ketiga