JUMLAH kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 6.33 juta.

Menurut data dari Johns Hopkins University, dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan lebih 100,000 kes jangkitan baharu.

Amerika Syarikat (AS) terus mendahului kes jangkitan COVID-19 dengan mencatatkan 1.82 juta.

Ia juga satu-satunya negara yang mempunyai angka positif melebihi 1 juta.


Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 6.33 juta.
Brazil kini menjadi negara kedua tertinggi dengan jumlah kumulatif positif jangkitan setengah juta kes manakala Rusia ketiga dengan melebihi 400,000 kes.

Sementara itu, United Kingdom, Sepanyol dan Itali masing-masing mencatatkan jumlah jangkitan melepasi 200,000.

Tujuh lagi negara mempunyai kes positif melepasi 100,000 iaitu India, Perancis, Jerman, Peru, Turki, Iran dan Chile.

Negara lain masih merekodkan angka jangkitan di bawah 100,000, namun Kanada, Mexico dan Arab Saudi melepasi angka jangkitan di China tempat berasalnya virus itu dengan jumlah melebihi 84,000 kes.