Sebuah pekan kecil di utara Wales yang bertukar sunyi selepas wabak COVID-19 melanda, menjadi tumpuan sekumpulan kambing Kashmir.

Kawanan kambing liar itu memenuhi bandar Llandundo beberapa hari selepas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memperkenalkan sekatan dan kawalan pergerakan minggu lalu dalam usaha untuk menghadkan penyebaran wabak itu.

Kambing-kambing itu berjalan bebas di sekitar pekan, malah ada yang memakan rumput di kawasan gereja dan bunga tanaman penduduk.

Haiwan itu mengembara dari dataran tinggi Orme dan sampai ke pekan tersebut melalui jalan pantai.

Kambing-kambing ini berjalan bebas di sekitar pekan, malah ada yang memakan rumput di kawasan gereja dan bunga tanaman penduduk. - Twitter/Andrew Stuart

Seorang penduduk, Carl Triggs, baru pulang dari kerja ketika terserempak kambing itu di halaman rumah.

"Kambing-kambing ini hidup di atas bukit, jarang sekali ia sampai ke pekan," katanya kepada CNN.

"Ada masa kambing-kambing ini akan turun ke kaki bukit, tetapi kali ini ia turun sampai ke pekan," kata seorang lagi penduduk, Mark Richards.

"Mungkin sebab penduduk tidak keluar jadi kambing-kambing ini tidak takut," katanya sambil menambah kehadiran kambing berkenaan membuatkan dia tidak perlu bersusah payah memotong ranting-ranting pokok di rumahnya.

Polis Wales mengesahkan bahawa mereka menerima panggilan mengenai kehadiran kambing liar, namun memaklumkan perkara tersebut tidak membahayakan.