Singapura mencatatkan kematian keempat akibat jangkitan COVID-19 melibatkan seorang lelaki Indonesia berusia 68 tahun.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pesakit berkenaan meninggal dunia pada pukul 6.43 pagi Khamis selepas tujuh hari dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kementerian itu menyatakan, lelaki berkenaan yang mempunyai sejarah diabetis dan darah tinggi, menerima rawatan di ICU sejak 26 Mac.

Pesakit itu dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) pada 22 Mac dan disahkan positif jangkitan virus itu pada hari yang sama.

Pemegang Pas Pekerja Singapura itu telah berada di Indonesia dari 20 Januari hingga 16 Mac.

Setakat tengah hari Rabu, Singapura mencatatkan sebanyak 1,000 kes positif COVID-19 dan 245 orang pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu.- BERNAMA