JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah 73.25 juta berikutan ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Setakat pagi Rabu (16 Disember), data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan 16.63 juta kes jangkitan.

Ini diikuti India dengan 9.9 juta kes, manakala Brazil merekodkan 6.92 juta kes.

Negara yang melepasi angka dua juta kes ialah Rusia dan Perancis.

Manakala, jangkitan positif COVID-19 di United Kingdom, Turki, Itali, Sepanyol, Argentina, Jerman, Mexico, Poland dan Iran pula melepasi satu juta kes.

Sementara itu, Peru, Ukraine, Afrika Selatan, Belanda, Indonesia, Belgium, Czechia, Iraq, Chile  dan Romania  termasuk dalam negara yang merekodkan angka lebih setengah juta kes.

Negara dalam lingkungan angka 300,000 hingga 500,000 kes jangkitan koronavirus adalah Bangladesh, Kanada, Filipina, Pakistan, Maghribi, Switzerland, Arab Saudi, Israel, Portugal, Austria dan Sweden.

Dalam pada itu, sebanyak 35 negara merekodkan angka positif dalam lingkungan 100,000 hingga 300,00 kes.

Kebanyakan negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000 kes, termasuk Malaysia.