MOSCOW: Walaupun berdepan dengan peningkatan kes harian COVID-19 tertinggi setakat ini di Rusia, beberapa majlis penting seperti majlis perkahwinan tetap diteruskan.

Di Moscow, antara lokasi yang mencatatkan peningkatan harian tertinggi sehingga lebih 7,000 kes, sekatan baharu terpaksa dikuat kuasakan bermula Isnin melibatkan restoran bar dan kafe - termasuk dewan yang menganjurkan majlis perkahwinan.

Dengan penguat kuasaan baharu itu, hanya mereka yang sudah divaksinasi, sudah pulih dari COVID-19 selepas dijangkiti sejak enam bulan lepas atau pengesahan negatif selepas lakukan ujian saringan dibenarkan masuk.

Malah, mereka yang hadir juga perlu melengkapkan borang dengan mengimbas kod QR bagi merekodkan maklumat berkaitan.

Dengan peningkatan kes ini, ia menyukarkan orang awam untuk mengadakan majlis perkahwinan yang hanya melibatkan jumlah tetamu yang terhad.

Malah, ada yang berkongsi hanya 50 peratus daripada senarai jemputan mereka boleh hadir ke majlis perkahwinan yang telah dirancang berbulan lamanya.

Untuk rekod, Rusia merekodkan kes harian tertinggi untuk lima hari berturut-turut dengan 697 kematian baharu pada Sabtu.

Jumlah kes harian meningkat dua kali ganda berbanding awal Jun lalu sehingga lebih 20,000 kes minggu ini.

Pihak berkuasa Rusia melaporkan, ia berkemungkinan daripada sikap sambil lewa rakyatnya dalam membendung penularan wabak itu.