JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia ketika ini melebihi 190 juta, berikutan lebih 300,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 34 juta kes.

Ini diikuti India dengan lebih 31.1 juta kes dan Brazil dengan lebih 19.6 juta kes.

Manakala negara yang melebihi angka 5 juta kes adalah Perancis, Rusia, Turki dan United Kingdom.

Argentina, Colombia dan Itali pula catat kes melebihi 4 juta.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan melepasi 2.8 juta kes.

Ini diikuti dengan Filipina dengan lebih 1.5 juta dan Malaysia dengan lebih 900,000 kes.

Manakala Thailand dan Singapura masing-masing merekodkan lebih 403,000 dan lebih 63,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 4.08 juta.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 609,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 541,000 kes, India lebih 413,000 kes, Mexico lebih 236,000 kes.

Sementara United Kingdom, Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 91,000 kes adalah Jerman sementara Sepanyol melebihi 81,000 kes.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan melebihi 73,000 kes korban.

Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 26,000 diikuti Malaysia.

Thailand mencatatkan lebih 3,000 angka korban.