JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia ketika ini melebihi 179.7 juta, berikutan lebih 400,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 33.58 juta kes.

Ini diikuti India dengan 30 juta kes dan Brazil dengan lebih 18.16 juta kes.

Manakala negara yang melebihi angka 5 juta kes adalah Perancis, Turki dan Rusia.

United Kingdom, Argentina dan Itali pula catat kes melebihi 4 juta.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan melepasi 2 juta kes.

Ini diikuti dengan Filipina dengan lebih 1.36 juta sementara Malaysia lebih 700,000 kes.

Manakala Thailand dan Singapura masing-masing merekodkan lebih 200,000 dan lebih 62,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 3.89 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 603,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 507,000 kes, India lebih 391,000 kes, Mexico lebih 231,000 kes.

Sementara United Kingdom, Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 80,000 kes termasuk Jerman dan Sepanyol.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan melebihi 55,000 kes korban.

Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 24,000 diikuti Malaysia.

Singapura kekal catat 35 kematian.