LONDON:Ketua Pembangkang Parti Buruh United Kingdom, Keir Starmer menggesa Perdana Menteri, Boris Johnson melaksanakan sekatan baharu di negara itu dalam tempoh 24 jam akan datang.

Jelasnya, ini kerana penularan COVID-19 di UK kini tidak terkawal dan sekatan di seluruh negara adalah perkara pertama yang perlu dilakukan ketika ini.

"Perintah sekatan di seluruh negara. Perdana Menteri ada memberi isyarat bahawa ia akan dilakukan tetapi beliau masih menunda perkara itu dan kita tidak boleh melengahkan ia lagi.

"Kita tidak boleh membenarkan Perdana Menteri untuk mengambil masa sehingga dua hingga tiga minggu untuk laksanakan sekatan.

"Lakukannya sekarang. Itu adalah langkah utama yang perlu dilakukan bagi mengawal pandemik ini," tegasnya. 

Gesaan tersebut menyusul selepas 54,990 kes positif COVID-19 dicatat di UK dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini merupakan hari keenam berturut-turut kes harian baharu mencatatkan lebih 50,000 kes.