PIHAK berkuasa Mexico menempatkan 11 kiosk makro di 10 bandar raya bagi memenuhi keperluan penggunaan kit ujian pantas susulan kontroversi dakwaan kadar saringan yang rendah di negara itu.

Usaha tersebut dilakukan Presiden Andrés Manuel López Obrador selepas disahkan positif COVID-19 buat kali kedua.

Masalah kekurangan bekalan kit ujian di Mexico bukan isu baharu, malah lebih serius apabila pada Selasa, kebanyakan farmasi swasta mengumumkan kit ujian pantas di premis mereka - yang dijual antara AS$15 dan AS$25 setiap set - habis terjual.

Difahamkan, sekitar 10,000 kit ujian pantas percuma disediakan kerajaan setiap hari di setiap kiosk makro tersebut.

Ia ditempatkan berdekatan pusat beli belah atau pusat kesihatan.

Pada Selasa, orang ramai dilihat beratur menggunakan fasiliti yang disediakan tersebut.

Orang ramai menyifatkan usaha tersebut perlu dilakukan lebih awal bagi mengekang penularan COVID-19.

Untuk rekod, Mexico merupakan antara negara yang tidak melaksanakan sekatan, menyekat penerbangan atau mewajibkan penggunaan pelitup muka.