SUSULAN penularan wabak COVID-19, angka kematian dilaporkan terus meningkat di China.

Setakat awal pagi Rabu, jumlah mangsa yang terkorban akibat dijangkiti koronavirus itu melebihi 2,000 orang.

Ia susulan China mencatatkan 132 lagi kematian dalam wilayah Hubei, yang juga pusat penyebaran virus berkenaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 2,002 kematian.

Pada masa sama, Suruhanjaya Kesihatan wilayah tersebut melaporkan sebanyak 1,693 kes baharu yang sudah terkena jangkitan COVID-19.

Untuk rekod, sebanyak 74,137 kes direkodkan di China setakat ini, dengan jumlah kematian 2,000 mangsa.

Pada masa sama, 13,818 mangsa yang sebelum ini dijangkiti virus itu telah pun kembali sepenuhnya sementara seramai 6,242 individu masih ditahan kerana mempunyai gejala wabak tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menghantar sepasukan pakar perubatan ke China bagi mengumpul maklumat serta membantu memberikan bimbingan kepada pihak berkuasa tempatan.

Kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, kumpulan pakar itu mungkin akan melawat Wuhan, pusat penyebaran wabak tersebut.

BACA: COVID-19: Kuarantin berjaya, pasukan bertugas patuh prosedur klinikal


BACA:
COVID-19: Dua lagi warga China pulih, jumlah terkini pesakit sembuh 13