KES jangkitan harian COVID-19 di Korea Selatan terus mencatat peningkatan dengan rekod tertinggi pada Rabu.

Dalam tempoh 24 jam lalu, 2,223 kes disahkan meskipun pihak kerajaan melaksanakan perintah sekatan yang ketat di kawasan berpenduduk padat.

Lonjakan melepasi angka 2,000 yang direkodkan buat pertama kali ini membawa jumlah jangkitan kepada 216,206 kes dengan 2,135 kematian.

Pihak berkuasa kini masih bergelut dengan pelaksanaan kempen vaksinasi yang perlahan berikutan bekalan vaksin yang tidak konsisten.

Selepas melancarkan program imunisasi secara besar-besaran pada Februari lalu, negara ini telah memberikan dos pertama kepada 42 peratus daripada populasi lebih 51 juta.