COVID-19: Lima restoran ini guna kaedah unik jaga jarak sosial, keselamatan pelanggan

Najmi Syahiran Mamat
Mei 21, 2020 02:23 MYT
Berikut merupakan kaedah unik dilaksanakan oleh beberapa buah restoran. - Gambar REUTERS
RESTORAN antara kunjungan utama penduduk di sesuatu tempat dalam menikmati juadah makanan dan minuman, selain dijadikan sebagai tempat bersosial dan bekerja.
Di sebalik pandemik COVID-19, tidak hairanlah jika operasi sektor penting ini perlu diteruskan bagi memastikan ekonomi negara kekal berjalan selepas menyaksikan perintah penutupan dan sekatan sejak beberapa bulan lalu.
Namun, bagaimanakah restoran mengadaptasi kelonggaran yang diberikan supaya dapat terus menjalankan perniagaan dalam suasana normal baharu seperti penjarakan sosial?
Berikut merupakan kaedah unik dilaksanakan restoran di beberapa negara:
1. Restoran Fish Tales Bar & Grill in Ocean City, Ocean City, Maryland
Restoran tepi air (waterfront) ini menyediakan meja berbentuk bulat bagi mengekalkan jarak sosial antara pelanggannya.
Penggunaan bumper saiz gergasi itu membantu para pelanggannya mengekalkan jarak sosial dengan jarak enam kaki ketika menggunakan meja berkenaan.
Selari dengan arahan ditetapkan kerajaan, meja individu itu memiliki empat roda bagi memudahkan pergerakan pelanggan.
2. Restoran makanan tengah hari, Bangkok, Thailand
Bagi penggemar restoran mee di Bangkok, Thailand, peluang untuk menikmati makanan tengah hari kini kembali tersedia selepas kelonggaran perintah berkurung dilaksanakan.
Pelanggan yang ingin makan di premis, bagaimanapun, perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) penjarakan sosial.
Tidak cukup dengan meletakkan penghadang plastik yang memisahkan antara dua pelanggan pada satu meja, restoran malah menetapkan syarat kepada mereka untuk duduk secara bersilang bagi memaksimumkan jarak.
Kaedah penghadang plastik ini bukan sahaja boleh dilihat di Thailand, malah normal baharu ini juga dilaksanakan di negara China dan Taiwan.
3. Restoran Mediamatic Eten, Amsterdam
Sebuah restoran Belanda tepi air di Amsterdam menyediakan ruang khas seperti rumah kecil dikenali ‘rumah hijau kuarantin’.
Ia dibina khas dengan dinding kaca bagi memberi peluang dua orang pelanggan untuk duduk dan makan sambil menikmati pemandangan pesisiran air.
Selain itu, untuk lebih selamat, para pelayan di restoran itu memakai pakaian pelindung seperti sarung tangan dan pelindung muka ketika menghantar pesanan makanan ke meja.
Restoran Mediamatic Eten ini dijangka mula beroperasi pada Khamis (21 Mei).
4. Kedai kopi, Art of Coffee, Bangkok, Thailand
Memetik laporan Channel News Asia, sebuah kedai kopi di Bangkok, Thailand bertindak kreatif dengan menyediakan satu sistem atau alat untuk mengurangkan sentuhan antara pembuat kopi dan pelanggan.
Kedai Art of Coffee ini menggunakan sistem takal (tali dan roda) ketika menyediakan cawan kopi kepada pelanggan dalam jarak 1 meter selain urusan bayaran melibatkan kad dan duit tunai.

Watch: A cafe in Bangkok is using a clever pulley system to follow social distancing rules while serving customers during the coronavirus outbreak pic.twitter.com/6f4nTmmCWa

— TIME (@TIME) March 26, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
5. Restoran makanan segera, McDonald's
Restoran makanan segera, McDonald's difahamkan juga beroperasi dalam suasana normal baharu.
Di Taipei, Taiwan, umpamanya, cawangan McDonald's memastikan pelanggan mereka untuk merekod nama, nombor telefon dan angka suhu yang diperiksa di premis berkenaan.
Selain mewajibkan pekerja untuk memakai pelitup muka, mereka juga perlu merekodkan suhu para pekerja bagi setiap pesanan makanan yang diambil.
Jika di Hong Kong pula, pelanggan perlu berdiri di hadapan alat pengimbas suhu badan (thermal monitor) sebelum mengambil pesanan di kaunter.

You have to stand in front of the thermal monitor before getting takeout at McDonalds. #HongKong #SocialDistancing pic.twitter.com/i1Sri4I4Ob

— Joyce Lau (@JoyceLauNews) April 17, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pelaksanaan dan SOP ini mungkin berbeza-beza di setiap restoran seluruh negara.
Bagaimana pula usaha pemilik restoran di tempat anda untuk memastikan anda sebagai pelanggan memahami kepentingan penjarakan sosial?
#Amsterdam #bisnes restoran #ekonomi #F&B #Hong Kong #kedai #kedai kopi #makanan dan minuman #Mcdonald's #penjarakan sosial #restoran #SOP