PERANCIS melaksanakan perintah kawalan pergerakan untuk kali ketiga di seluruh negara yang menyaksikan sekolah turut ditutup selama tiga minggu.

Ia sebagai usaha membendung penularan COVID-19 yang kini melumpuhkan sistem kesihatan negara itu.

Jumlah kematian menghampiri 100,000, unit rawatan rapi hospital berada pada tahap kritikal dan pengagihan vaksin yang perlahan, memaksa Perdana Menteri Emmanuel Macron mengumumkan perintah tersebut.

Ia sekali gus merencatkan fasa pemulihan ekonomi di negara itu.

"Kita akan hilang kawalan sekiranya kita tidak bertindak sekarang," katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen pada Rabu.

Terdahulu, beberapa wilayah di Perancis telah mula melaksanakan kawalan pergerakan lebih dari seminggu, termasuk di Paris.

Sekolah pula akan ditutup selama tiga minggu dan ia termasuk pembelajaran secara dalam talian akan dijalankan.

"Ini solusi terbaik untuk mengawal penularan virus," kata Macron, sambil menambah Perancis sekurang-kurangnya berjaya membuka sekolahnya dalam tempoh yang lebih panjang berbanding banyak negara jiran.