Susulan penularan wabak COVID-19 yang diumumkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini, New York mengumumkan penutupan sekolah berkuat kuasa hari ini sehingga 20 April depan.

AP melaporkan, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio membuat pengumuman itu selepas menerima tekanan daripada orang ramai terutama ibu bapa yang bimbang dengan jangkitan virus itu.

Beliau berkata, langkah penutupan sekolah berkenaan membabitkan kira-kira 1.1 juta pelajar di lebih 1,900 sekolah kerajaan di bandar raya terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu.

Beliau menjelaskan, kebanyakan sekolah swasta telah pun mengambil langkah berkenaan lebih awal.

"Dengan rasa dukacita, ingin saya umumkan, penutupan sekolah bermula esok (Isnin) sehingga 20 April. Bagaimanapun tempoh itu boleh dilanjutkan dan bergantung kepada situasi semasa.

"Saya tidak dapat menggambarkan situasi yang 'mengerikan' ini. Namun dalam keadaan sekarang, ini adalah langkah terbaik dan terpaksa dilakukan," katanya yang menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang sukar.

Mengulas lanjut, Blasio berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran bagi murid tadika hingga gred 12 akan diadakan secara atas talian.

"Kita tidak pernah terfikir akan melalui detik getir sebegini. Semua dalam keadaan keliru dan sakit," ujarnya.

Dalam sidang akhbar yang sama, beliau turut berkata, sehingga semalam, lima kematian membabitkan virus itu dilaporkan di Bandaraya New York.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Guru Persekutuan, Michael Mulgrew berkata, penutupan sekolah adalah langkah terakhir yang terbaik dalam membendung penularan jangkitan wabak itu kepada pelajar, ahli keluarga dan kakitangan sekolah.

Selain New York, beberapa bandar raya di AS, termasuk Los Angeles, Houston, San Francisco, Seattle dan Washington telah mengumumkan penutupan sekolah sebelum ini.