COVID-19: Parlimen Perancis lulus RUU pas vaksin

Astro Awani
Januari 17, 2022 01:05 MYT
Kakitangan perubatan 'bertafakur' mengenang keadaan sistem perkhidmatan hospital yang hampir lumpuh akibat COVID-19 di luar Hospital Strasbourg University, timur Perancis, 14 Jan 2022. (Foto AP)
PARLIMEN Perancis pada Ahad meluluskan rang undang-undang (RUU) sekatan baharu, atau dikenali sebagai pas vaksin.
Ia bagi menghalang mereka yang tidak divaksinasi daripada memasuki restoran, panggung wayang, arena sukan dan venue lain.
RUU pas vaksin tersebut adalah usaha kerajaan untuk melindungi perkhidmatan kesihatan awam negara itu yang berada dalam keadaan tertekan susulan peningkatan kes harian COVID-19.
Dewan Negara menerima pakai RUU itu dengan undian 215 kepada 58.
Sebelum ini, Presiden Emmanuel Macron menyatakan harapan supaya RUU tersebut dapat diluluskan dengan segera.
Namun, terdapat penangguhan susulan tentangan daripada penggubal undang-undang, baik di pihak kanan mahupun kiri, dengan ratusan cadangan pindaan.
Untuk rekod, lebih 91 peratus individu dewasa negara itu sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing.
Justeru, timbul persoalan berhubung keperluan RUU pas vaksin tersebut.
Kerajaan berharap, dengan undang-undang tersebut, ia dapat mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan hospital di seluruh negara.
RUU itu memperuntukkan hanya individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan ke kawasan pelancongan, perkhidmatan kereta api dan penerbangan domestik.
Ia terpakai kepada mereka yang berusia 16 tahun ke atas.
Sebelum ini, pas COVID-19 diperlukan di Perancis untuk pergi ke restoran, panggung wayang, muzium dan beberapa lokasi lain di seluruh negara, tetapi mereka yang tidak divaksinasi dibenarkan masuk jika menunjukkan keputusan ujian negatif atau bukti mereka telah pulih baru-baru ini.
#pas vaksin #Perancis #vaksin lengkap #rang undang-undang sekatan baharu