PELAJAR sekolah rendah adalah kumpulan pertama mengikuti kelas dalam talian pada Rabu sebagai sebahagian rancangan pembelajaran dari rumah Kementerian Pelajaran Singapura dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Sekitar 200,000 murid sekolah rendah berada di rumah dan mengikuti jadual waktu yang ditetapkan oleh sekolah.

Ada yang melayari Singapore Student Learning Space (SLS), iaitu platform pembelajaran dalam talian digital yang dibangunkan kementerian itu seawal pukul 7.30 pagi sementara yang lain dimaklumkan untuk memulakan pembelajaran dalam talian mereka lebih lewat.

Pembelajaran di rumah menggabungkan kedua-dua elemen membabitkan e-kelas dan penyelesaian tugasan serta latihan.

Malah kelas pendidikan jasmani turut dijalankan secara dalam talian - sebagai contoh, murid terlibat dalam latihan jarak intensiti tinggi akan mengikuti video senaman di YouTube.

Suri rumah, Joanna Tan, 40, yang mempunyai anak perempuan Tahun Satu dan Lima berkata, anaknya akan berkongsi komputer riba untuk melakukan pembelajaran di rumah.

Jelasnya, ada ibu bapa yang menjalankan percubaan di pelbagai platform untuk membiasakan anak mereka dengan sesi pembelajaran dalam talian.

"Kami mempunyai kumpulan sembang untuk ibu bapa. Sebahagian daripada kami bimbang jika peranti lama serta komputer riba kami tidak dapat menyokong Google Meet, iaitu aplikasi yang digunakan oleh sekolah. Seorang ibu, yang sudah biasa dengan Google Meet mengatur sesi percubaan untuk kami pada Sabtu lepas.

"Ia sesi yang sangat membantu, walaupun ada yang menghadapi masalah memuat turun aplikasi dan log masuk, kami saling membantu di WhatsApp. Kami menyedari ada sari kata apabila anak-anak bercakap dan mereka juga suka mencuba." katanya.

Sementara itu, Janeshtha Vaswani, 47 tahun, yang mempunyai anak lelaki Tahun Dua berkata, sekolah itu telah membantu pelajar dan ibu bapa dengan kata laluan SLS yang ditetapkan semula sejak beberapa hari lalu.

Tambahnya, anaknya akan menggunakan komputer riba peribadi untuk pembelajaran di rumah

"Perkara yang baik adalah saya berada di rumah minggu ini, jadi saya boleh mengawasinya, tetapi pada minggu depan, saya perlu berada di pejabat, jadi agak mencabar untuk melakukannya, tetapi kita akan tetap memantau," katanya yang merupakan seorang pembantu pengurus di peringkat penilaian dan kemajuan Duke-NUS.

Kementerian Pelajaran republik itu pada Jumaat mengumumkan sekolah rendah akan menjalankan pembelajaran dalam talian pada Rabu, sekolah menengah pada Khamis dan kolej-kolej junior serta Institut Millennia pada Jumaat.

Murid sekolah rendah akan belajar di rumah selama empat jam sehari, pelajar sekolah menengah (lima jam) dan pelajar kolej serta institut pendidikan lain (enam jam).

Ibu bapa diminta tidak mengambil alih pembelajaran pelajar di rumah tetapi perlu menyokong kanak-kanak belajar secara mandiri walaupun menyedari murid sekolah rendah memerlukan lebih banyak bantuan.

Kementerian itu juga menggalakkan ibu bapa membuat rutin dengan anak-anak mereka dalam pembelajaran, makan dan rehat selain menyediakan kawasan yang kondusif untuk pembelajaran seperti meja makan atau meja belajar.

Sementara itu, sekolah-sekolah masih dibuka untuk sekumpulan kecil pelajar yang keluarga mereka tidak dapat mengatur sokongan penjagaan alternatif.

Sebagai garis panduan, kira-kira 10 peratus pelajar yang kini mendaftar di pusat jagaan pelajar berasaskan sekolah harus berada di sekolah semasa hari pembelajaran berasaskan rumah, kata kementerian itu.