Menteri-menteri kewangan Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis mencapai persetujuan berhubung pelan penyelamat berjumlah 540 bilion euro (kira-kira RM2.54 trilion) untuk menyokong ekonomi di negara-negara kesatuan itu yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Eurogroup, yang terdiri daripada 19 menteri kewangan yang mewakili negara-negara zon Euro di EU, meluluskan pakej penyelamat itu Khamis susulan desakan Belanda yang mahukan pembaharuan dan pengawasan ekonomi.

"Hari ini, kami bersetuju dengan tiga jaringan keselamatan dan satu pelan untuk pemulihan, untuk memastikan kami berkembang bersama selepas pandemik itu berakhir," kata Presiden Eurogroup Mário Centeno dalam satu kenyataan video.

Menurutnya, perjanjian itu dipersetujui atas dasar untuk membina kekuatan kewangan bersama dan demi perpaduan Eropah, lapor Reuters.

Ciri utama pakej menyelamat itu melibatkan Mekanisme Kestabilan Eropah (ESM), iaitu dana penyelamat yang dicetuskan semasa krisis hutang zon euro EU sebelum ini.

"ESM akan menyediakan dana 240 bilion euro untuk negara-negara kesatuan itu yang sedang berdepan dengan hutang.

"Satu-satunya keperluan untuk mengakses garis kredit ini adalah komitmen untuk menggunakan dana untuk membiayai kos rawatan langsung atau tidak langsung, penyembuhan dan kos berkaitan pencegahan yang berkaitan dengan COVID-19," kata Centeno lagi.

Sebagai tambahan kepada kredit ESM, para menteri EU meluluskan pinjaman 200 bilion euro dari Bank Pelaburan Eropah (EIB) untuk perniagaan EU dan program sokongan pekerjaan bernilai 100 bilion euro yang dicadangkan minggu lalu oleh Suruhanjaya Eropah.

Pemimpin EU dijangka mengadakan sidang video minggu depan bagi mempersetujui cadangan itu.