PERANCIS akan mengetatkan sekatan dan mengenakan perintah berkurung 12 jam bermula jam 6 petang, sekurang-kurangnya selama dua minggu, dalam usaha mengurangkan jangkitan COVID-19.

Negara itu setakat ini berada di kedudukan ketujuh tertinggi di dunia dengan 69,450 kematian dan kedudukan keenam dengan 2,909,565 kes jangkitan akibat koronavirus tersebut.

Kerajaan Perancis sangat bimbang dengan varian baharu koronavirus yang lebih menular, dikesan di Britain, yang kini menyumbang sekitar 1 peratus kes baru.

"Langkah ini berkesan untuk mengawal keadaan kesihatan negara ini," kata Perdana Menteri Jean Castex pada Jumaat. 

Perintah berkurung malam itu akan berkuat kuasa pada Sabtu (16 Jan).

Bermula Isnin, semua individu yang berkunjung ke Perancis dari luar Kesatuan Eropah (EU) perlu menunjukkan ujian COVID-19 negatif dan dikuarantin selama seminggu sejurus ketibaan.

"Kita mesti lakukan segalanya untuk mencegah varian ini daripada merebak di Perancis," kata Menteri Kesihatan Olivier Veran. 

Bercakap pada satu sidang akhbar, Castex berkata, protokol baru untuk negara-negara EU akan dimulakan menjelang sidang kemuncak Eropah pada 21 Jan.

Jelasnya, usaha perlu dilakukan bagi mencegah varian baharu itu tersebar dan menjadi varian yang dominan.

Pada waktu ini, tekanan pada sistem hospital tetap tinggi tetapi tidak bertambah buruk

Terdahulu bulan ini, kerajaan telah menetapkan perintah berkurung di 15 wilayah pentadbiran.

Di kawasan-kawasan tersebut, kata Castex, kenaikan kes baru adalah dua hingga tiga kali lebih rendah berbanding di tempat-tempat lain.

Perancis akan cuba membuka semula sekolah dengan 1 juta murid selama sebulan bagi memastikan institusi pendidikan itu tetap dibuka.

Kata Castex, pelancaran vaksin diperluaskan lagi untuk merangkumi warga dari setiap usia dengan masalah kesihatan yang kronik.