Singapura mengenalpasti satu lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan sebuah asrama pekerja asing yang terletak di Kranji Road, pada lewat Isnin.

Tiga kes yang disahkan COCID-19 itu kini melibatkan Kranji Lodge, kata Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan semalam.

Selain Kranji Lodge, terdapat enam lagi asrama yang dikenalpasti sebagai kluster dengan dua telah diwartakan sebagai kawasan pengasingan, iaitu S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link, dan asrama Westlite Toh Guan di Toh Guan Road East.

Setakat ini, kedua-dua kawasan pengasingan itu menempatkan 19,800 pekerja dengan 117 orang kes positif.

MOH juga berkata republik itu pada Isnin mengenalpasti satu lagi kluster baharu dengan tiga kes disahkan di Little Gems Preschool di Ang Mo Kio Street.

Sehingga tengah hari Isnin, kementerian berkenaan mengesahkan pertambahan 66 kes jangkitan COVID-19 di Singapura melibatkan satu kes import dan 65 kes tempatan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di pulau ini 1,375 orang dengan 344 pesakit telah pulih sepenuhnya dan enam kematian.

Mengemaskini kes-kes positif, MOH berkata setakat semalam, 24 lagi kes jangkitan COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti.

Daripada 571 kes yang disahkan itu melibatkan mereka yang masih berada di hospital, kebanyakan mereka berada dalam keadaan stabil atau semakin pulih manakala 25 lagi dalam keadaan kritikal di unit penjagaan rapi.

Sementara itu, 454 kes yang secara klinikal baik tetapi masih positif COVID-19 diasingkan dan dirawat di Hospital Antarabangsa Concord, Hospital Mount Elizabeth, Hospital Gleneagles dan Kemudahan Pengasingan Komuniti di D'Resort NTUC.

Pada tengah hari 6 April, MOH mengenalpasti 17,613 kontak rapat telah dikuarantinkan.

-- BERNAMA