COVID-19: Sekolah di United Kingdom mula dibuka minggu ini

Astro Awani
September 2, 2021 23:35 MYT
WILLIAMSON: Kita perlu mencari titik keseimbangan yang terbaik bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan yang sempurna. -Gambar fail/Reuters
LONDON: Sekolah-sekolah mula dibuka di United Kingdom minggu ini.
Bagi mengelakkan penularan dalam komuniti, ujian saringan COVID-19 besar-besaran akan dilakukan.
Menurut Setiausaha Pendidikan Britain, Gavin Williamson, ujian saringan yang dilakukan adalah sebahagian daripada usaha tanpa menguatkuasakan sekatan tambahan.
Beliau menjelaskan keseimbangan perlu dicapai bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan sebaiknya.
"Kita perlu mencari titik keseimbangan yang terbaik bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan yang sempurna.
"Oleh sebab itu, kita lakukan ujian saringan besar-besaran ini. Dan seperti yang saya katakan, kita akan menyaksikan 9 juta ujian dilakukan dalam beberapa minggu akan datang," kata Williamson.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pelan kerajaan sekiranya berlaku lonjakan kes apabila ratusan ribu kanak-kanak kembali ke sekolah minggu ini.
Pakar menjangkakan akan berlakunya lonjakan kes menjelang akhir September selepas berakhirnya musim panas.
#COVID-19 #sekolah #ujian saringan #United Kingdom