Seorang pemain bola sepak profesional telah diuji positif COVID-19, sehari sebelum Liga 1 Thai memulakan semula perlawanananya pada Sabtu.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Kementerian Kesihatan Awam Dr Opas Karnkawingpong berkata pemain tengah Kelab Bola Sepak Buriram berusia 29 tahun dari Uzbekistan itu tiba di Thailand pada 13 Ogos, telah melengkapkan kuarantin wajib 14 hari.

Beliau berkata, pemain tersebut telah diuji positif pada ujian pramusim sebelum perlawanan dimulakan semula hari ini.

"Sejumlah 1,115 orang termasuk pengadil, pemain dan mereka yang terlibat dengan Liga 1 dan 2 Thai. Seorang pemain (Uzbekistan) diuji positif, manakala yang lainnya negatif," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Pihak berkuasa kesihatan telah mengenalpasti 43 individu termasuk kakitangan dan anggota pasukan Kelab Buriram sebagai kontak rapat dan akan menjalani kuarantin 14 hari.

Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit Dr Sophon Lamsirithavorn berkata, pihak berkuasa kesihatan akan meneruskan pengesanan kontak rapat kepada pesakit tersebut.

Berikutan kes terbaru ini, tiga perlawanan Liga 1 Thai dan Liga 2 Thai akan ditunda bergantung kepada ujian selanjutnya.

Sementara itu Ketua Pusat Kecemerlangan Klinikal Virus Universiti Chulalongkorn Dr Yong Puworawan berkata, tempoh inkubasi bagi lelaki tersebut mungkin lebih daripada 14 hari.

"Tidak mungkin dia telah dijangkiti di sini. Saya percaya dia telah dijangkiti di luar negara, (sebelum) tiba (di) Thailand," katanya.

Sehingga kini, Thailand merekodkan 3,462 kes COVID-19 dengan 58 kematian.

-- BERNAMA