Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini melaporkan 191 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,299 kes di republik itu.

MOH dalam kenyataan berkata daripada kes baharu itu, tiada kes import dilaporkan, 52 dikaitkan dengan kluster yang diketahui, 20 dikaitkan dengan kes-kes lain, manakala 119 masih lagi menunggu pengesanan kontak.

Antara kes yang berkaitan itu, MOH berkata 51 kes dikaitkan dengan kluster di asrama pekerja asing dan 21 dikaitkan dengan bukan asrama atau kes lain.

Tiga lagi asrama dikenali sebagai kluster baharu iaitu Westlite Woodlands di Woodlands Sector 2 dengan lapan kes, North Coast Lodge di North Coast Avenue (enam) kes dan Cassia @ Penjuru di Penjuru Walk (lima) kes.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 asrama terjejas daripada 45 asrama di republik itu dengan lebih 500 kes bergabung setakat ini.

Sementara itu, tiga kes tempatan melibatkan lelaki warga Malaysia dilaporkan, masing-masing berusia 26, 31 dan 44.

Mereka yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, kini masing-masing ditempatkan di Hospital Umum Singapura (SGH), City International Hospital dan Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

Republik itu turut melaporkan kematian kelapan kerana wabak COVID-19, membabitkan seorang lelaki warga Singapura berusia 90 tahun.

Warga emas itu disahkan mempunyai jangkitan pada 3 April dan terus ditempatkan di NCID pada hari yang sama.

Menurut MOH, 35 lagi kes jangkitan COVID-19 telah discaj dari hospital atau dari kemudahan isolasi komuniti, menjadikan keseluruhan 528 telah pulih sepenuhnya.

Daripada 943 kes yang disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik termasuk 31 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Menurut kementerian itu 820 kes yang secara klinikalnya baik tetapi masih positif ujian COVID-19 diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

Sehingga tengah hari, MOH mengenal pasti 26,189 kontak rapat yang telah dikuarantin.

-- BERNAMA