Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini melaporkan 386 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 2,918 kes di republik itu.

Ia merupakan lonjakan tertinggi kes jangkitan COVID-19 di negara itu dalam masa 24 jam.

MOH turut melaporkan kematian kesembilan akibat pandemik tersebut, sementara jumlah kumulatif pesakit yang telah sembuh meningkat kepada 586.

Singapura pada 7 April lalu telah mengambil langkah memperketat perintah kawalan pergerakan di negara itu selama sebulan.

Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong, menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung pada Jumaat memaklumkan langkah itu adalah bagi membendung penularan COVID-19 yang kian meningkat.