Berikutan situasi COVID-19 di Thailand terus bertambah baik dengan mencatatkan kes baharu harian pada kadar satu angka, kerajaan merancang membuka semula lebih banyak perniagaan dan aktiviti dengan mengurangkan larangan fasa dua pada minggu depan.

Pada Khamis, Thailand merekodkan tiga kes baharu dan sifar kematian, menjadikan jumlah kes sebanyak 2,992 dan 55 kematian. Sebanyak 2,772 orang telah sembuh dan pulang ke rumah.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kerajaan akan pertimbangkan untuk mengurangkan larangan fasa dua termasuk membuka semula premis lebih besar seperti pusat beli-belah dan gedung serbaneka.

"Sekiranya situasi terus mencatatkan kes baharu harian pada kadar satu angka, kerajaan akan mengurangkan lagi larangan dan akan membuka lebih banyak perniagaan dan tempat pada 17 Mei," katanya pada taklimat harian mengenai COVID-19 di pada Khamis.

Beliau berkata CCSA akan mendapatkan maklum balas dan pandangan bermula Jumaat ini sehingga Selasa dan kelonggaran itu akan diumumkan Khamis depan.

Pada 3 Mei, Thailand membuka semula enam jenis perniagaan dan tempat -- pasar, kedai makan di luar pusat beli-belah, perniagaan borong dan runcit, taman dan fasiliti sukan di kawasan terbuka, kedai gunting dan salon rambut (hanya terhad kepada mengunting rambut, syampu dan keringkan rambut), dan pusat serta hotel haiwan peliharaan.

Sementara itu, Thaweesilp berkata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha, yang mempengerusikan mesyuarat mengenai COVID-19, menggesa semua agensi kerajaan yang relevan untuk terus menguatkuasakan langkah ketat bagi mengawal wabak COVID-19 dan bersedia untuk melonggarkan lagi larangan pada fasa seterusnya.

Perdana menteri juga menzahirkan kebimbangan dengan kesesakan yang berlaku dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti skytrain dan MRT dan mencadangkan jadual kerja baharu untuk agensi kerajaan manakala jumlah yang bekerja dari rumah ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus, katanya.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengumumkan Pasar Minggu Chatuchak akan dibuka semula hujung minggu ini.

"BMA akan menilai situasinya setiap minggu," kata Timbalan Setiausaha Tetap BMA Wanlaya Watanarat.

-- BERNAMA