Seorang doktor di Arkansas, Amerika Syarikat yang sebelum ini menyentuh hati ramai selepas gambar dia dan anaknya tular, kini kehilangan rumahnya yang musnah dipukul puting beliung.

Dr Jared Burks berada di rumah dan sedang berehat dari tugasannya di hospital, apabila puting beliung melanda dan memusnahkan rumah yang didiami di Jonesboro, Arkansas, Sabtu lalu.

"Rumah kami musnah, Jared berada di dalam, tetapi syukurlah dia selamat. Saya dan anak berada di rumah ibu saya ketika kejadian," tulis isteri Jared, Alyssa Burks, di Facebook.

Sekurang-kurangnya 22 orang cedera dalam kejadian itu.

Alyssa sebelum ini memuat naik gambar Jared dengan anak lelaki mereka yang berusia setahun, Zeke, di Facebook.

Gambar yang tular itu memaparkan Jared sedang berlutut dan menyentuh tangan anaknya melalui pintu kaca.

Jared, yang merupakan sebahagian daripada barisan hadapan di AS dalam memerangi COVID-19, tinggal berasingan daripada isterinya dan anaknya selama lebih dari dua minggu untuk mengelakkan mereka mendapat risiko dijangkiti virus berkenaan.

"Jared pulang sekejap semasa waktu rehat. Sebaik sahaja melihat ayahnya, Zeke bergegas ke pintu.

"Zeke cuba bangun kerana mungkin dia mahu didukung ayahnya. Memang ia situasi yang menyedihkan.

"Saya harap gambar itu menyedarkan orang ramai betapa besar pengorbanan petugas perubatan, dan dapat membantu mereka dengan tinggal di rumah," kata Alyssa kepada CNN.