COVID-19: Thailand catat 17 kes baharu, majoriti jangkitan selepas kemasukan dari Myanmar

Khairunnisa Kasnoon
Disember 13, 2020 11:36 MYT
Kepulangan warga Thailand yang bekerja di bandar Tachilek, Myanmar menyaksikan lonjakan kes di negara itu selepas mereka disahkan positif virus berkenaan. -Reuters
Thailand merekodkan 17 kes baharu COVID-19 susulan kemasukan orang ramai ke negara itu dengan sembilan daripadanya dijangkiti selepas pulang dari Myanmar.
Kesemua sembilan wanita itu bekerja di Tachilek, Myanmar yang berempadan dengan Kemboja.
Menurut pihak berkuasa, mereka pulang ke Thailand melalui wilayah Mae Sai di utara Chiang Rai pada Jumaat dan disahkan positif.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Chiang Rai Prachanukroh untuk rawatan lanjut.
Baki lapan yang lain merupakan warga asing, masing-masing dua warga Amerika Syarikat dan Switzerland, dan masing-masing seorang dari Jepun, Pakistan, Bahrain dan Britain yang disahkan positif ketika tiba di negara itu.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Chiang Rai dan Chiang Mai memutuskan untuk mewajibkan kuarantin 14 hari bagi pelancong yang kembali dari kawasan tersebut dan daerah lain di Thailand selepas lonjakan kes berpunca dari bandar Tachilek yang membawa kepada 38 kes tempatan COVID-19.
Sehingga kini Thailand merekodkan 4,209 kes positif dengan 60 kematian.
#Thailand #Myanmar #COVID-19 #kes positif #pelancong #warga asing