Thailand pada Jumaat mengesahkan enam kes baharu COVID-19 dan kematian sifar, yang menyaksikan negara itu mencatat angka satu digit selama lima hari berturut-turut bagi jangkitan virus tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 2,960 dengan 54 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata satu kes dikesan di Bangkok membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang berkunjungi ke sebuah pasar manakala lima lagi di Bannang Sata, Yala di selatan Thailand yang merupakan kontak rapat seorang pesakit yang kembali dari Malaysia.

Pada Jumaat, seramai 32 pesakit telah dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih setakat ini ialah 2,719 orang manakala 187 lagi masih dirawat di hospital, katanya.

"Terdapat 42 daripada 77 wilayah di negara ini yang tidak melaporkan kes baharu COVID-19 dalam tempoh 28 hari lepas," katanya dalam taklimat harian mengenai COVID-19 di sini hari ini.

Thaweesilp menggesa rakyat Thailand agar kekal berjaga-jaga dan mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah penularan COVID-19 di negara itu dalam tempoh relaksasi ini.

Thailand telah melanjutkan perintah darurat bagi memerangi pandemik itu sehingga 31 Mei. Langkah-langkah seperti mengharamkan penerbangan pesawat penumpang yang ingin memasuki negara itu, perintah berkurung pada sebelah malam mulai 10 malam hingga 4 pagi, mengharam penjualan alkohol, melarang perjalanan rentas wilayah dan perhimpunan massa akan diteruskan di bawah perintah darurat itu.

Bagaimanapun, enam jenis perniagaan dan venue di seluruh negara akan dibuka semula mulai Ahad dengan garis panduan bagi mengelak gelombang kedua jangkitan COVID-19. Jenis perniagaan dan market terbabit ialah pasar, tempat makan, pusat beli-belah, perniagaan borong dan runcit, taman dan fasiliti sukan di luar (bukan untuk sukan berpasukan), kedai gunting dan salun rambut (terhad kepada memotong, mencuci dan mengeringkan rambut selain perkhidmatan dandanan dan hotel bagi haiwan peliharaan.

Bagaimanapun, pusat beli-belah, pawagam dan teater, gimnasium dan spa, venue bagi sukan luar termasuk stadium tinju kekal ditutup bagi mengelak perhimpunan besar-besaran.

Kerajaan akan melakukan pemerhatian dan menilai situasi pada setiap 14 hari.

Sementara itu, Thaweesilp melahirkan kebimbangan mengenai pergerakan besar-besaran penghuni bandar ke wilayah yang merupakan kampung halaman mereka pada hujung minggu.

Terdapat peningkatan dalam trafik membabitkan kereta peribadi, bas dan kereta api dari dan ke Bangkok. Ini mungkin berlaku susulan langkah relaksasi yang akan mula berkuat kuasa pada Ahad ini, katanya.

"Anda perlu duduk di rumah bagi membendung penularan," katanya.

-- BERNAMA