Selama 83 hari tanpa jangkitan tempatan COVID-19, tidak menjamin Thailand bebas daripada virus ini, kata ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Suwannachai Wattanayingcharoenchai, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Beliau berkata tempoh tanpa jangkitan tempatan tiada kaitan dengan risiko penularan kedua yang datang daripada sekatan pergerakan perniagaan yang dilonggarkan dan kemasukan warga Thailand serta asing termasuk pekerja migran.

Negara seperti Vietnam, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand, berdepan risiko gelombang penularan kedua COVID-19, selepas lama tidak mengalami jangkitan tempatan.

Dr Suwannachai berkata "kita mahu mengesan pesakit dengan cepat, merawatnya dan mengekang tahap penularan."

Kementerian Kesihatan akan memastikan tahap penularan dapat dibendung dan pada masa sama memungkinkan kelangsungan ekonomi negara, katanya.

-- BERNAMA