COVID-19: Thailand tingkat pengesanan kontak selepas kanak-kanak Myanmar dikesan positif

Bernama
September 16, 2020 21:47 MYT
Thailand melaporkan 10 kes baharu COVID-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes 3,490 dan 58 kematian.
Thailand meningkatkan pengesanan kontak di wilayah utara Tak selepas seorang kanak-kanak Myanmar didapati positif COVID-19.
Kanak-kanak berusia dua tahun itu dan ibunya meninggalkan Mae Sot di Wilayah Tak ke Myawaddy, Myanmar pada 4 Sept.
Kanak-kanak itu didapati positif dalam saringan COVID-19 sementara keputusan ibunya negatif pada Ahad.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata pegawai-pegawai kesihatan sedang meningkatkan pengesanan kontak untuk mengenal pasti mereka yang mungkin terdedah kepada kanak-kanak terbabit.
"Pegawai kesihatan sudah mengumpul sampel daripada 2,635 warga Thai dan warga asing di Mae Sot pada 8 dan 9 Sept.
Setakat ini, tiada yang didapati positif dalam saringan COVID-19," kata beliau dalam satu sidang akhbar di sini pada Rabu.
Beliau berkata mereka yang merupakan kontak rapat dengan kanak-kanak itu akan dikenal pasti dan menjalani saringan COVID-19.
Thailand melaporkan sifar jangkitan tempatan sejak pertengahan Mei hingga 3 Sept lepas setelah seorang banduan yang tidak pernah ke luar negara didapati positif dalam saringan COVID-19.
Sementara itu, Thailand melaporkan 10 kes baharu COVID-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes 3,490 dan 58 kematian.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Kanak-kanak #kesihatan #kontak rapat #Myanmar #pengesanan #positif #Thailand #warga asing