Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan kesedihannya susulan perkembangan terbaharu kesihatan Perdana Menteri Britain Boris Johnson.

Johnson dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas simptom jangkitan COVID-19 'semakin teruk'.

BACA: COVID-19: Boris Johnson dipindah ke ICU

"Seluruh rakyat Amerika mendoakan beliau (Johnson) sembuh.

"Beliau seorang rakan baik, seorang yang sangat istimewa, kuat, tegas dan tidak pernah mengalah," kata Trump dalam taklimat media di White House.


Katanya lagi, pihaknya telah menghubungi kesemua doktor yang merawat Johnson bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesihatan Johnson.

"Apabila anda dibawa ke unit rawatan rapi, ia bermakna wabak ini amat serius," tambah Trump.

Trump turut memaklumkan telah mengarahkan dua 'syarikat peneraju' untuk menghubungi pegawai di London mengenai rawatan terapi yang mungkin boleh membantu merawat Johnson.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara spesifik nama syarikat berkenaan.

Terdahulu BBC melaporkan jurucakap Downing Street dalam satu kenyataan berkata Johnson dipindahkan ke ICU atas nasihat pasukan perubatannya dan kini sedang menerima rawatan terbaik.