MULAI 16 Ogos, individu di United Kingdom yang telah divaksinasi sepenuhnya serta kanak-kanak, tidak perlu lagi menjalani kuarantin sekiranya menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

Menurut Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid pada Selasa, hanya individu yang disahkan positif COVID-19 perlu menjalani kuarantin.

Katanya, kejayaan program vaksinasi membolehkan sekatan dan peraturan kuarantin dimansuhkan bagi penerima yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Terdahulu pada Isnin, Perdana Menteri Boris Johnson menetapkan pelan untuk mengakhiri sekatan sosial dan ekonomi susulan penularan COVID-19 di England, mulai 19 Julai.

Langkah ini akan menjadi ujian sama ada program vaksinasi di negara itu menawarkan perlindungan secukupnya untuk menghadapi varian Delta.

Johnson menjangkakan program vaksinasi yang berjaya melemahkan hubungan antara jangkitan dan kemasukan ke hospital boleh mengurangkan kebanjiran pesakit COVID-19 di hospital.

Javid yang baharu dilantik bulan lalu menggantikan Matt Hancock menggariskan kepentingan mengatasi masalah kesihatan, ekonomi dan cabaran pendidikan yang semakin meningkat akibat wabak itu.

"Kita tidak boleh hidup dalam dunia di mana satu-satunya perkara yang kita fikirkan adalah COVID-19, dan bukannya masalah kesihatan lain, masalah ekonomi dan cabaran pendidikan.

"Kita mesti menggunakan vaksin yang setakat ini telah menunjukkan kejayaan," katanya kepada Sky News.

Pengkritik menyatakan Johnson dan Javid tidak mengotakan janji untuk mengambil pendekatan berhati-hati dalam menghapuskan sekatan.

Javid sebelum ini berkata, ketika sekatan dimansuhkan pada 19 Julai, kemungkinan terdapat 50,000 kes COVID-19 sehari iaitu dua kali ganda daripada kadar semasa dan boleh mencapai 100,000.

Britain melaporkan 28,773 kes baru pada Selasa dan 64.3 peratus penduduk kini lengkap dua dos vaksin.