UNITED Kingdom (UK) merekodkan satu lagi kematian akibat wabak penularan COVID-19.

Memetik laporan BBC, kes tersebut melibatkan seorang lelaki berusia 60-an yang meninggal dunia di Hospital Awam Utara Manchester.

Jurucakap hospital berkenaan berkata lelaki tersebut mengalami beberapa masalah kesihatan serius.

Kes tersebut baru sahaja pulang dari Itali dan menerima rawatan di unit penyakit berjangkit hospital berkenaan.

Pada Ahad, UK mencatatkan sebanyak 67 kes baharu iaitu peningkatan tertinggi dalam sehari.

Ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara tersebut sebanyak 273 kes.

BACA: UK lancar COBRA hadapi ancaman virus korona



Ketua Pegawai Perubatan England, Profesor Chris Whitty berkata beliau amat kesal atas pemergian pesakit ketiga di England itu.

“Saya amat kesal untuk melaporkan bahawa pesakit ketiga di England yang disahkan positif COVID-19 telah meninggal dunia.

“Saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya serta meminta supaya privasi mereka dihormati,” katanya.

Whitty berkata aktiviti pengesanan kontak rapat sudah dijalankan bagi mengenalpasti individu yang mungkin bersentuhan dengan kes yang dijangkiti COVID-19.

Seorang lelaki yang memakai penutup muka dan hidup berjalan di Jambatan Westminster di London, Britain, pada 5 Mac, 2020. - REUTERS


Sebelum ini, kematian pertama COVID-19 di UK dilaporkan pada Khamis membabitkan seorang wanita berumur 70-an.

Kematian kedua pula melibatkan lelaki berusia 80-an yang meninggal dunia di Hospital Milton Keynes.


Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) akan dapat apa-apa sahaja sumber yang diperlukan

Sementara itu, Canselor Exchequer, Rishi Sunak berjanji untuk memberikan apa-apa sahaja sumber yang diperlukan NHS untuk menangani epidemic koronavirus tersebut menjelang pembentangan Belanjawan pada Rabu ini.

Sunak juga berkata beliau sedang mencari langkah sementara untuk menyokong mereka yang tidak dapat pergi ke kerja dan perniagaan yang mungkin merana akibat sekatan yang dikenakan.

Kerajaan UK juga telah menggarikan undang-undang kecemasan bagi memerangi wabak berkenaan.


Ia termasuk langkah untuk membolehkan orang ramai untuk meninggalkan pekerjaan mereka dan menawarkan diri secara sukarela untuk menjaga mereka yang terjejas akibat COVID-19.

Dalam perkembangan lain, peruncit terbesar Britain, Tesco berkata ia sudah mula mengehadkan pembelian makanan dan barangan keperluan.

Pejabat Luar Negeri UK juga menggesa orang ramai supaya mengelak daripada melancong ke utara Itali melainkan ia amat penting.

Ia susulan tindakan “lockdown” yang dikenakan ke atas Itali yang melibatkan lebih 16 juta penduduk di Lombardy dan 14 wilayah yang memerlukan kebenaran khas untuk keluar.