COVID-19: UK terdedah bayar risiko kos pandemik selama beberapa dekad

Astro Awani
Julai 26, 2021 00:57 MYT
Terdapat juga pembaziran perbelanjaan yang tidak dapat diterima seperti pembelian PPE bernilai 2.1 bilion pound yang tidak sesuai. - Foto REUTERS/Peter Cziborra
LONDON: Kerajaan Britain akan terdedah kepada risiko kewangan susulan perbelanjaan pandemik berjumlah 372 bilion pound selama beberapa dekad.
Dalam pada itu, laporan daripada Ahli Parlimen menyatakan lebih 2 bilion pound dibelanjakan untuk Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang tidak dapat digunakan.
Dalam dua laporan mengenai tindak balas kerajaan terhadap pandemik COVID-19, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Parlimen berkata, pengajaran perlu diambil sebelum siasatan awam dimulakan pada tahun 2022/
Pengerusi PAC UK, Meg Hillier berkata, dengan jumlah besar wang dibelanjakan untuk langkah-langkah COVID-19 setakat ini, kerajaan perlu jelaskan bagaimana perkara itu dapat dikendalikan di masa hadapan.
Pembayar cukai akan turut terkesan selama 20 tahun dalam hal seperti pinjaman, pemulihan seni dan budaya dan risiko lain yang perlu ditangani pantas oleh jabatan seluruh kerajaan.
PAC menunjukkan kerugian dianggarkan sebanyak 26 bilion pound melalui penipuan dan pembayaran balik pinjaman diberikan kepada perniagaan untuk membantu kesan wabak tersebut yang mencetus risiko kewangan.
Dalam laporan kedua, jawatankuasa itu berkata, terdapat juga pembaziran perbelanjaan yang tidak dapat diterima seperti pembelian PPE bernilai 2.1 bilion pound yang tidak sesuai.
Kerajaan berkata, hanya 0.84 peratus daripada semua PPE dikesan tidak dapat digunakan dan akan digunakan semula untuk tujuan lain.
Parti pembangkang, Parti Buruh menyatakan penemuan itu adalah bukti kukuh berkenaan kegagalan kerajaan dan siasatan mengenai cara kerajaan tangani wabak perlu dimulakan dengan segera.
#COVID-19 #Britain #kerajaan #belanja #Parlimen #siasatan awam #pembaziran