TOKYO:Jepun mengesahkan negara itu mengesan varian baharu COVID-19 yang terdapat di Afrika Selatan, pada Isnin.

Penemuan itu adalah yang pertama di negara itu selepas puluhan varian baharu COVID-19 dari United Kingdom dikesan.

Kementerian Kesihatan Jepun berkata, seorang wanita berusia 30an yang tiba di Jepun pada 19 Disember lalu disahkan dijangkiti dengan varian baharu virus penyakit itu.

Pihak berkuasa kesihatan Afrika Selatan menyatakan varian tersebut kemungkinan bertanggungjawab terhadap peningkatan jangkitan kes baharu di sana baru-baru ini.

Pengumuman penemuan varian dari Afrika Selatan dilakukan setelah kerajaan Jepun pada Isnin mulai melarang kemasukan warganegara asing bukan pemastautin berikutan penemuan varian UK di Jepun.

Perdana Menteri Yoshihide Suga mendesak untuk kekal tenang dan mengarahkan para menteri untuk tetap waspada walaupun menjelang musim cuti Tahun Baru.

Tambahnya, tiada bukti vaksin yang telah diberikan di luar negara tidak berkesan terhadap varian baharu itu dan langkah anti-infeksi juga tidak berubah daripada sedia ada.

Jepun menghadapi gelombang ketiga jangkitan COVID-19 dengan kes harian mencecah 3,881 pada Sabtu.