SEJONG: Varian Omicron kini menjadi varian dominan di Korea Selatan selepas ia mula dikesan buat kali pertama lapan minggu lalu.

Pihak berkuasa kesihatan mengesahkan varian membimbangkan itu telah menggantikan varian Delta yang sebelum ini juga mendominasi jangkitan COVID-19 di negara itu.

Berdasarkan data terkini, tahap risiko untuk COVID-19 adalah "sangat tinggi" di Seoul dan seluruh negara.

Dalam tempoh 24 jam lepas, 7,513 kes baharu direkodkan, hampir dua kali ganda daripada 3,857 kes yang ditemui seminggu lalu dalam tempoh sama.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan memperluaskan kaedah bekerja dari rumah kepada kira-kira satu pertiga daripada tenaga kerjanya selepas mula mengesan jangkitan positif.