PERINTAH kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan di beberapa negara bagi menangani pandemik COVID-19 mungkin dilihat sebagai halangan untuk masyarakat melakukan aktiviti harian, apatah lagi membantu usaha barisan hadapan membendung virus itu.

Namun bagi askar veteran dari Britain, Kapten Tom Moore, beliau enggan berdiam diri sebaliknya mengambil inisiatif untuk membantu petugas yang bertungkus lumus di barisan hadapan dengan caranya sendiri.

Moore melancarkan kempen mengumpulkan sumbangan secara dalam talian untuk disalurkan kepada petugas kesihatan di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom melalui laman Twitter beliau .

Hasilnya mengejutkan, dengan menyasarkan UK£1,000 pada peringkat awal, beliau sebaliknya berjaya mengumpul sumbangan sebanyak UK£4 juta pada Rabu.

BACA: COVID-19: Hanya 12 jam, YouTuber ini berjaya raih dana hampir RM3 juta

Seiring dengan ulang tahun beliau yang ke-100 pada 30 April ini, Moore berhasrat untuk berjalan sebanyak 100 pusingan di keliling laman perumahannya di Bedfordsdhire dengan dibantu alat bantu jalan dalam usahanya mengumpul lebih banyak sumbangan.

Veteran perang dunia kedua berusia 99 tahun ini mendapat perhatian lebih 170,000 penderma di seluruh dunia sejak kempen kebajikannya dilancarkan pada awal bulan ini.

Moore meluahkan rasa terhutang budi terhadap warga NHS yang pernah membantu merawat penyakit kanser dan tulang yang dihadapinya sebelum ini.

Atas sebab itu, beliau memutuskan untuk memulakan kempen meraih dana bagi membantu warga NHS.

“Saya rasa mereka layak menerima setiap sen dan saya berharap kita menjana lebih banyak untuk diberikan kepada mereka," ucap Moore dalam satu temu bual bersama BBC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NHS Charities Together, Ellie Orton, hasil sumbangan ini akan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas, serta menyediakan ruang rehat dan pemulihan untuk warga NHS yang bertugas merawat pesakit COVID-19.

Ellie juga sempat menyampaikan ucapan terima kasih atas kesudian Moore membantu para petugas kesihatan.

Moore yang berasal dari Keighley, West Yorkshire, memulakan tugas sebagai tentera British di negara Burma (kini Myanmar) sewaktu Perang Dunia Kedua, sebelum berkhidmat di India dan seterusnya kembali ke Britain dengan menjadi tenaga pengajar di Dorset.