SEMASA India berdepan krisis COVID-19 yang semakin memuncak, ada dalam kalangan penduduk yang masih berpegang kepada harapan untuk terus hidup.

Antara mereka, seorang warga emas berusia 75 tahun dilihat memeluk seorang doktor di Hospital Kolej Perubatan Kolkata setelah disahkan pulih daripada virus berkenaan.

Rakaman tersebut diambil oleh Dr Avisikta Mallick, seorang doktor pelatih di hospital berkenaan.

Warga emas itu dikenalpasti sebagai Kavita Chakraborty, seorang penduduk Kolkata, yang sedang menunggu kerusi roda selepas dibenarkan pulang daripada hospital ketika rakaman itu dibuat.

Chakraborty dimasukkan ke hospital pada 21 April selepas mengalami sesak nafas.

Dia dirawat oleh Dr Mallick selama lima hari sebelum disahkan telah pulih daripada virus tersebut.

"Ia merupakan detik yang sangat mengembirakan kerana ramai orang berusia sepertinya selalunya tidak akan pulih.

"Dia tidak sabar untuk kembali ke pangkuan cucunya di rumah. Ia merupakan satu detik yang tidak dapat dilupakan," kata Dr Mallick kepada portal berita Newsweek.

Pada awalnya Chakraborty dilaporkan mengalami gejala demam dan telah mengasingkan diri di rumah selepas ujian calitan COVID-19 menunjukkan dia positif virus itu.

Dia kemudian dimasukkan ke dalam hospital selepas mengalami sesak nafas.

Doktor di Unit Rawatan Kritikal hospital berkenaan, Dr Tonmoy Dey berkata, ketika dimasukkan ke dalam hospital, Chakraborty mengadu dia dalam kesakitan dan sangat lemah.

"Setelah dimasukkan ke hospital, kami memberikan bekalan oksigen kepadanya dan dia memberi respons yang sangat bagus.

"Kami telah lakukan segala ujian dan rawatan yang diperlukan dan tidak lama selepas itu, segala simptom berkaitan COVID-19 telah hilang.

"Dia kemudian disahkan negatif virus itu dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya.


Pada Rabu, lebih 40,000 kes COVID-19 baharu dilaporkan di India dengan 3,780 kes kematian dalam tempoh 24 jam, menurut data daripada Kementerian Kesihatan negara itu.