WASHINGTON: White House mendesak para pemimpin Republikan di Florida dan Texas untuk patuh garis panduan kesihatan awam mengenai pandemik COVID-19 atau 'jangan mengganggu' ketika Amerika Syarikat berusaha mengekang penyebaran varian Delta.

Desakan menyusul perkembangan wabak di dua negeri dipimpin Republikan itu yang menyumbang sebahagian besar peningkatan kes COVID-19 di seluruh Amerika Syarikat.

Gabenor Florida, Ron Desantis menyuarakan tentangan terhadap sekatan COVID-19 yang ketat dengan mengeluarkan arahan untuk menyekat mandat pemakaian pelitup muka di sekolah.

Begitu juga Gabenor Texas, Greg Abbot, yang turut membantah keras sekatan ketat di negerinya.

Jurucakap White House, Jen Psaki berkata, jika Florida dan Texas enggan menjadi sebahagian daripada penyelesaian, adalah lebih baik tidak bising dan membiarkan pihak lain menggerakkan  usaha tersebut.

"Akan ada satu masa dalam karier seorang pemimpin dia harus membuat keputusan sama ada akan mematuhi garis panduan kesihatan awam bagi menyelamatkan nyawa atau mereka akan berpandukan politik.

"Saya akan biarkan anda semua menentukan perkara itu. Garis panduan kesihatan awam tentang manfaat vaksin ini cukup jelas, sama seperti pemakaian pelitup muka," katanya.

Tegas Psaki, jika mereka ini tidak mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian bagi menyelamatkan nyawa, mereka disaran untuk membiarkan orang lain melakukan perkara tersebut.

Tambah beliau, ketika ini White House sedang berbincang dengan kedua-dua negeri tersebut mengenai tawaran bantuan untuk mengatasi masalah berbangkit.

Penyelaras Tindak Balas Pandemik White House, Jeff Zients berkata, satu daripada tiga kes baharu COVID-19 minggu lalu di seluruh negara berlaku di Florida dan Texas.

Sementara itu Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Dr Rochelle Walensky berkata, 72,000 kes baharu COVID-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh tersebut.

Ini menunjukkan peningkatan 44 peratus berbanding minggu sebelumnya dan lebih tinggi berbanding semasa kemuncak pada musim panas 2020.