GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara-negara untuk mengekalkan pengawasan jangkitan koronavirus.

Menurut ketua pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, dunia semakin menutup mata terhadap bagaimana virus itu merebak melihat kepada kadar ujian saringan yang kian menurun.

Jelasnya, semakin banyak negara mengurangkan ujian saringan membuatkan agensi kesihatan PBB itu semakin kurang menerima maklumat tentang jangkitan dan penjujukan genom.

Perkara itu, tambahnya, menjadikan dunia semakin lalai terhadap corak jangkitan dan evolusi virus berkenaan.

Ketua Eksekutif Find, kumpulan bantuan global yang bekerjasama dengan WHO dalam memperluaskan ujian saringan, Bill Rodriguez berkata, kadar ujian saringan telah menjunam sebanyak 70 hingga 90 peratus.