HAIWAN dalam kandang di Zoo Neumunster, Jerman kini menjadi korban COVID-19 – bukan terkena jangkitan penyakit tetapi hadapi kemungkinan dijadikan bahan makanan akibat putus bekalan.

Walaupun Jerman mengenakan perintah 'mengunci' (lockdown) bermula Mar 12 (kini dilanjutkan hingga 19 April), operasi zoo tidak ditutup sepenuhnya walaupun tiada pengunjung.

Tanpa bantuan kewangan kerajaan, haiwan di zoo terpaksa dikorban dan dijadikan makanan untuk haiwan yang lain.

Lazimnya, jika sesuatu zoo tidak mampu menanggung operasi, haiwan akan dipindah ke zoo lain.

Zoo di Jerman bukan dikira syarikat perniagaan dan tidak layak menerima dana bantuan dari kerajaan apabila hilang punca pendapatan akibat COVID-19.

Kebiasaannya, Zoo Neumunster berjaya meraih pendapatan lebih RM800,000 sepanjang tiga bulan musim bunga.

Arahan tutup akibat COVID-19 dijangka menyebabkan setiap zoo di Jerman rugi hampir RM2.4 juta tahun ini.

Gabungan kesemua pemilik zoo Jerman telah memohon bantuan berjumlah RM470,000 dari kerajaan Jerman untuk pulih dari kerugian yang bakal dialami mereka.

Masalah yang dihadapi Zoo Neumunster bukan unik. Sebelum ini zoo di China juga menghadapi masalah yang sama.

Satu dunia terkejut dan pencinta haiwan membantah apabila binatang di sebuah taman haiwan di China dibiar bertindak sebagai pemangsa. Situasi yang terjadi pada awal penularan wabak COVID-19 itu tidak ubah seperti keadaan hidupan liar di hutan.

Masalah terbesar dihadapi Zoo Neumunster ialah nasib beruang kutub – digelar Vitus – yang apabila berdiri ia mencapai ketinggian 10 kaki – tidak mampu ditempatkan di mana-mana zoo lain di Jerman.

Anjing laut dan penguin juga memerlukan perhatian rapi termasuk penyediaan bekalan ikan segar setiap hari.

Menurut pengarah Zoo Neumunster, Verena Kaspari, senarai haiwan yang akan dikorbankan sudah tersedia.

“Saya tidak rela membiarkan haiwan zoo ini mati kebuluran. Jika perlu, haiwan di zoo ini akan dihapuskan secara suntikan,” katanya.

Tambah Kaspari, haiwan 'sosial' (social animals) seperti orang utan jelas mengalami kemurungan kerana rindukan interaksi dengan pengunjung.

Katanya; “Haiwan di zoo sudah biasa dengan kehadiran dan hiruk-pikuk pengunjung. Suasana sunyi agak janggal bagi haiwan yang sudah biasa dengan kehadiran manusia keliling mereka.”