CHINA sudah memberikan vaksin covid-19 lengkap kepada 91 peratus pelajar berusia 12 hingga 17 tahun.

Media tempatan melaporkan, di sebalik kadar vaksinasi tinggi, pihak berkuasa menggesa sekolah untuk tetap berwaspada dengan ancaman wabak itu.

Data pihak berkuasa tempatan menunjukkan, lonjakan kes di wilayah tenggara Fujian bulan ini meningkat kepada 152 kes.

Ia merangkumi jangkitan dalam kalangan pelajar tidak divaksinasi.

Dua vaksin utama China telah diluluskan untuk digunakan pada kanak-kanak daripada usia tiga tahun.

Namun, pihak berkuasa masih belum melancarkan vaksinasi terhadap kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Menurut Kementerian Pendidikan, pihak sekolah tidak boleh berpuas hati dengan vaksinasi dan perlu menerapkan langkah-langkah anti-COVID dengan kaedah yang lebih cekap dan bersasar.

Bandar Putian dan Xiamen yang mengalami lonjakan kes baharu COVID-19 telah menggantung sesi pengajaran secara bersemuka di tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

China mula memvaksinasi pelajar berusia 12 hingga 17 tahun pada bulan Julai.

Kadar vaksinasi remaja 91 peratus jauh lebih tinggi daripada kadar nasional, yang hanya di bawah 70 peratus pada 6 September.