SYDNEY: Australia bakal memendekkan tempoh pengambilan dos penggalak COVID-19 di sebalik peningkatan kes positif akibat varian Omicron.

Menteri Kesihatan Greg Hunt memaklumkan pada Jumaat, dos penggalak akan diberi bermula 4 Januari kepada semua individu berusia 18 tahun ke atas yang telah menerima dos kedua vaksin COVID-19 empat bulan lalu.

Tempoh tersebut akan dipendekkan lagi kepada tiga bulan menjelang akhir Januari.

"Tempoh berkenaan diputuskan bagi memberi perlindungan kepada rakyat Australia," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Sebelum ini pihak berkuasa negeri menggesa kerajaan persekutuan membenarkan lebih ramai rakyat Australia diberi dos penggalak susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Omicron.

Dua minggu lalu, pihak berkuasa kesihatan memendekkan tempoh pengambilan dos penggalak kepada lima bulan dari enam bulan sebelum ini.