VIENNA: Kerajaan Austria mungkin mengumumkan perintah berkurung kepada individu yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 susulan kes harian yang semakin melonjak di negara itu.

Kanselor Alexander Schallenberg tidak menyatakan bila arahan itu akan berkuat kuasa.

Bagaimanapun, perintah berkurung akan dikenakan di bandar yang terjejas teruk termasuk Salzburg, bermula Isnin ini.

Kira-kira 65 peratus daripada penduduk Austria telah diberikan vaksin sepenuhnya, negara itu antara yang terendah di Eropah Barat.

Ramai rakyat Austria masih ragu-ragu mengenai vaksin susulan pengaruh daripada parti politik ketiga terbesar di negara itu, iaitu Parti Kebebasan.

Kata Schallenberg, pihaknya memberi lampu hijau untuk mengenakan sekatan terhadap individu yang belum divaksinasi susulan Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital semakin tertekan.

Jelasnya, mereka yang tidak divaksinasi akan menghadapi sekatan yang sama pada pergerakan harian mereka yang dialami seluruh negara dalam tiga penutupan tahun lalu.

Schallenberg mahu mengelak daripada meletakkan sekatan lanjut ke atas mereka yang diberi vaksin.

Menteri Kesihatan, Wolfgang Mueckstein berkata, pekerja kesihatan akan digesa untuk mendapatkan vaksin.

Jangkitan semakin meningkat di seluruh Eropah apabila cuaca lebih sejuk bermula dan Belanda dijangka mengumumkan penutupan separa selama tiga minggu yang akan dikenakan kepada seluruh penduduk.