BEIJING: Beijing akan mengurangkan sekatan di beberapa kawasan berisiko rendah di ibu negara China hari ini untuk membolehkan kehidupan kembali normal.

Menurut pegawai bandar itu, daerah Fangshan dan Shunyi kini boleh beralih daripada bekerja dari rumah kepada mod biasa.

Manakala pengangkutan awam termasuk bas, teksi dan kereta api bawah tanah akan menyambung semula perkhidmatan di tiga daerah.

Pusat beli-belah juga akan dibenarkan dibuka semula di beberapa kawasan.

Namun, sesetengah sektor ditangguhkan pembukaan semula perniagaan termasuk kelas tutor, kafe internet dan bar karaoke.

Beijing melaporkan 1,716 jangkitan COVID-19 dari 22 April hingga semalam.

Dalam pada itu, Shanghai secara beransur-ansur memulakan transformasi ke arah pembukaan semula selepas dua bulan penutupan akibat COVID-19.

Shanghai menyasarkan untuk menamatkan penutupannya mulai Rabu ini dengan membenarkan orang ramai keluar dan perniagaan dibuka.

Pada masa ini, kebanyakan penduduk masih terkurung di kawasan perumahan mereka dan rata-rata kedai terhad untuk membuat penghantaran.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Shanghai, Zhao Dandan, menggesa penduduk terus berjaga-jaga walaupun sebahagian besar daripada 25 juta penduduknya tinggal di kawasan yang berada dalam kategori berisiko paling rendah.

Pada Jumaat, daerah Fengxian di pinggir bandar Shanghai turut membatalkan syarat untuk penduduk mempunyai pas untuk keluar.

Sementara itu, Shanghai Securities News melaporkan lebih 10,000 pegawai bank dan peniaga yang telah tinggal dan bekerja di pejabat mereka sejak permulaan penutupan beransur-ansur pulang ke rumah.

Satu video di media sosial turut mendedahkan orang ramai bersuka-ria termasuk warga asing sebelum polis menyuruh mereka pulang.

Walaupun bilangan kes di seluruh negara bertambah baik, pematuhan ketat China terhadap dasar sifar-COVID dilihat memusnahkan ekonomi kedua terbesar di dunia dan rantaian bekalan global serta mencemaskan pelabur.

Kesan ekonomi terbukti apabila keuntungan pada April di firma perindustrian tahunan jatuh 8.5 peratus dengan harga bahan mentah yang tinggi serta kekacauan rantaian bekalan disebabkan sekatan COVID-19.

Semasa mesyuarat tergempar Rabu lalu, Perdana Menteri, Li Keqiang mengakui pertumbuhan yang lemah dan kesukaran ekonomi dalam beberapa aspek lebih teruk berbanding pada 2020 selepas China dilanda COVID-19.

China pada Sabtu melaporkan 362 kes harian COVID-19, turun daripada 444 kes sehari sebelum ini.