BEIJING: Beijing memecat pegawai kesihatan tertingginya pada Rabu ketika ibu kota China itu masih berdepan lonjakan kes harian COVID-19 walaupun ia masih mengamalkan dasar sifar kes.

Beijing kekal melaporkan ratusan kes harian sejak beberapa minggu lepas, susulan penularan varian Omicron, yang terbesar sejak bermulanya pandemik.

Memetik laporan antarabangsan, bekas Ketua Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran, Yu Luming, dilucutkan jawatannya.

Yu disyaki melanggar disiplin dan undang-undang yang serius, dan kini sedang menjalani semakan tatatertib dan siasatan penyeliaan.

Jutaan rakyat republik itu diarahkan untuk bekerja dari rumah dengan kebanyakan operasi bas dan kereta api turut dihentikan.

Manakala ribuan rakyat terpaksa ditempatkan di pusat kuarantin selepas puluhan kes direkodkan dalam kalangan komuniti setempat.

Untuk rekod, China masih melaksanakan dasar sifar kes COVID-19 dengan menguatkuasakan sekatan pegerakan di beberapa bandar walaupun negara lain sudah beralih ke arah hidup bersama COVID-19.