BRUSSELS: Kerajaan Belgium mengenakan semula beberapa sekatan pandemik bermula Jumaat ini berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 dan kemasukan ke hospital.

Serentak itu, penggunaan pelitup muka akan menjadi wajib di beberapa tempat seperti bar, restoran dan kelab kecergasan.

Pegumuman dibuat dalam satu sidang media oleh Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo di Brussels.

"Jelas sekali bahawa memakai pelitup muka bukanlah perkara menyenangkan, tetapi ia adalah alat yang sangat berguna dan cekap untuk mencegah penularan virus apabila berada di dalam tempat tertutup, lebih-lebih lagi jika pengudaraan tidak baik.

"Ini akan dikenakan kepada kakitangan di bar dan restoran dan di kelab kecergasan. Jadi bagi kakitangan di bar dan restoran, dan kelab kecergasan adalah wajib memakai topeng muka mulai Jumaat," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, 8.5 juta rakyat Belgium telah menerima vaksin penuh, maka sekatan berkenaan tidak begitu drastik seperti yang dilakukan sebelum ini.

Sekatan hanya dilonggarkan beberapa minggu lalu kerana negara itu mengenakan penggunaan pas COVID-19 di seluruh negara.

Menurut data minggu sebelumnya, jangkitan harian negara meningkat sebanyak 75 peratus hingga mencapai 5,299 kes sehari.

Kemasukan hospital juga meningkat sebanyak 69 peratus dengan mencapai 102 sehari.

Jumlah kematian berkaitan COVID-19 juga meningkat sedikit dengan purata 13 kematian sehari.