BRITAIN meluluskan penggunaan pil antivirus COVID-19 Pfizer untuk pesakit dewasa yang mempunyai jangkitan ringan dan sederhana, serta yang berisiko tinggi menunjukkan gejala bertambah kritikal.

Menurut Agensi Pengawalseliaan Produk Ubat dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) Britain, berdasarkan data, pil Paxlovid paling berkesan apabila diambil pada peringkat awal jangkitan COVID-19.

Justeru, MHRA mengesyorkan ia digunakan dalam tempoh lima hari selepas gejala pertama.

Pfizer bulan ini mendedahkan, Paxlovid menunjukkan hampir 90% keberkesanan dalam mencegah kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.

Data makmal terkini mencadangkan, ubat itu berkesan terhadap varian Omicron yang merebak pantas.

MHRA bekerjasama dengan Pfizer untuk menjejaki keberkesanan Paxlovid terhadap Omicron.

"Kita sekarang mempunyai ubat antivirus untuk rawatan COVID-19 yang boleh dimakan dan bukannya diberikan secara intravena.

"Ini bermakna, ia boleh diberikan di luar persekitaran hospital," kata ketua MHRA June Raine dalam satu kenyataan. 

Paxlovid diperbuat daripada dua bahan aktif yang bertindak sebagai dua pil berasingan, diambil dua kali sehari bersama-sama, selama lima hari.

Britain telah memperoleh lebih daripada 2.75 juta ubat rawatan antivirus.

Tablet Pfizer adalah sebahagian daripada kelas ubat yang kini digunakan untuk merawat HIV, Hepatitis C dan virus lain.